Biografi Lily Eberwein

Latar Belakang

Lily Eberwein Abdullah berkaum Eurasia dan mempunyai keturunan Eropah dan Melayu. Ayahnya, John Eberwein, seorang Eurasia yang berketurunan Belanda dan Scotland dari Kepulauan Cocos dan berhubungan dengan keluarga Clunies-Ross, pemerintah pulau itu. Bapa Lily pernah menjadi kapten kapal Rajah Brooke untuk Syarikat Straits Steamship . Ibunya, Maznah bt. Ali bin Alang, merupakan seorang wanita Melayu tempatan yang berasal dari Simanggang . Mereka tinggal di Singapura di mana mereka mempunyai dua anak, Lily dan Edward. Maznah ialah seorang Muslim, tetapi Lily dan Edward mempunyai pendidikan Kristian . Lily mendapat pendidikan awal di St. Mary's Mission School di Kuching, Sarawak sehingga beliau berusia lapan tahun dan melanjutkan pelajarannya di Raffles Girls 'School di Singapura .

Pengislaman

Selepas kematian bapanya, Lily kembali ke Kuching bersama ibunya dan melanjutkan pelajarannya hingga Darjah Tujuh (setara dengan Tingkatan Tiga, umur 15 tahun) di St. Mary's Mission School. Kematian ayahnya telah mengubah gaya hidup keluarganya. Lily perlu menyesuaikan diri dengan pendidikan Melayu Muslim, yang ditandai dengan penambahan Abdullah pada namanya. Dalam sebuah temu bual, anak perempuannya, Hafsah Harun, menjelaskan bahawa asuhan ibunya berbeza dengan anak perempuan Melayu yang lain. Oleh kerana beliau telah membiasakan diri dengan gaya hidup Eropah di Singapura, beliau berasa kehilangan kebebasan yang sebelumnya dinikmati olehnya dan berasa sukar untuk mula bertudung dan dikurung di rumah. Beliau telah terbiasa dilayan oleh pelayan lelaki ketika berada Singapura, tetapi kembali ke Kuching dia harus melayani ayah saudaranya. Tambahan pula, beliau sangat bersuara dan berdikari kerana pernah mendapat pendidikan Barat. Lily memeluk Islam pada tahun 1913. Pengetahuannya mengenai agama barunya mengagumkan jirannya, sehinggalah ramai orang di kampungnya menghantar anak-anak mereka ke tempat Lily untuk belajar membaca Al-Quran. Hal ini menunjukkan bahawa penduduk di kampung itu telah mempercayainya dan menghormatinya kerana wanita jarang diberi nasihat untuk mengajar agama pada zaman itu. Beliau telah diterima, dan mengidentifikasi dirinya, sebagai orang Melayu Muslim.

Kerjaya awal

Pada tahun 1927, pengarah sebuah syarikat telefon, Mr Tate, merekrut Lily Eberwein untuk bekerja sebagai operator telefon, menjadikannya wanita Melayu pertama yang bekerja di jabatan kerajaan. Beliau berbahasa Melayu dan Inggeris dengan fasih, dan hal ini telah memudahkan kerjanya di syarikat telefon tersebut. Ayahnya juga merupakan sahabat Mr. Tate.

Pada tahun 1929, beliau meletakkan jawatannya ketika Kerajaan Brooke melantiknya sebagai Pengetua Sekolah Perempuan Melayu Permaisuri, yang dibuka di Kuching pada tahun 1930. Beliau juga diberi jawatan setiausaha bahagian Melayu, sementara Mary Ong, Barbara Bay dan Mrs. Gopal mengetuai bahagian Cina, Iban dan India. Oleh kerana penglibatannya dalam bidang pendiditkan, beliau dikenali sebagai Cikgu Lily.

Perkahwinan

Beliau lambat berkahwin dan hanya bernikah pada tahun 1938. Beliau memiliki tiga anak perempuan, dengan anak sulungnya, Hafsah, dilahirkan pada tahun 1940. Suaminya, Harun bin Haris,yang berusia sepuluh tahun lebih muda daripadanya, bekerja di Pasukan Konstabel Polis Sarawak. Encik Harun sangat menyokong penglibatannya dalam gerakan antipenyerahan dan bidang pendidikan. Pada masa itu, berkahwin pada usia yang lebih tua dan mempunyai suami yang lebih muda pastinya menimbul kontroversi. Namun, beliaukekal dihormati oleh masyarakat Melayu kerana kesungguhannya dalam mendidik gadis-gadis Melayu.